Bahaya syeikh bawa budaya taksub, taklid
Bahaya syeikh bawa budaya taksub, taklid
Oleh Dr Asmadi Mohamed Naim
POLEMIK bidaah semakin menular dalam masyarakat. Antaranya ialah ketaksuban kepada syeikh daripada golongannya dan menolak pandangan pihak lain. Bahkan ia juga membawa kepada 'memaksa' pengikut memuja syeikh dengan diuar-uarkan kehebatannya.
Polemik ini seharusnya ditangani dengan teliti dan berasaskan petunjuk daripada al-Quran dan al-sunnah. Sebahagian mengamalkan sesuatu amalan contohnya berzikir secara berjemaah selepas solat, berasakan mereka mengamalkannya di atas petunjuk al-Quran atau al-sunnah. Mereka membawa juga hujah berpandukan ayat suci al-Quran dan sunnah di samping penerangan daripada ulama silam dan semasa untuk menguatkan hujah mereka.
Sebahagian masyarakat yang lain pula melabelkan mereka sebagai pencetus dan pengamal bidaah. Perkara itu tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah. Mereka berpandangan bertaklid kepada ulama dengan mengetepikan petunjuk al-Quran dan al-sunnah suatu kesesatan berdasarkan Sabda Rasulullah:
“Hendaklah kamu dengar dan patuh walaupun hamba Habsyi memerintah kamu. Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di kalangan kamu, maka akan melihat perselisihan yang banyak. Justeru, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah al-Rasyidin selepasku. Gigitlah dengan geraham kamu (berpegang teguh). Dan Jauhilah perkara baru, kerana sesungguhnya setiap yang bidaah itu sesat.
Hadis itu menjadi dalil kepada pandangan yang berpegang bahawa ia dengan jelas melarang daripada menambah perkara baru dalam ibadah. Dengan kata lain, penambahan dalam ibadah di luar daripada suruhan syarak adalah sesat. Justeru, persoalan ibadah bukan lagi soal furuk, bahkan menjadi seumpama persoalan akidah kerana boleh membawa kepada kesesatan.
Mereka berpandangan bahawa orang yang bertaklid kepada orang terdahulu diibaratkan sebagai golongan Yahudi dan Nasrani yang bertaklid kepada rahib dan pendeta mereka. Berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Taubah, ayat 31 yang bermaksud: Mereka menjadikan pendeta mereka dan rahib sebagai tuhan selain Allah.
Justeru, bertaklid pada fuqaha yang tidak berpegang kepada nas, termasuk dalam golongan ini.
l Bertaklid kepada ulama.
Ada yang menyatakan fenomena bertaklid kepada ulama khususnya ulama empat mazhab hari ini adalah sebab utama kejatuhan umat Islam kini. Kongkongan taklid menyebabkan ulama takut untuk mengeluarkan pandangan sendiri.
Kelahiran pelbagai bidaah pada hari ini adalah kerana budaya bertaklid itu, contohnya amalan zikir selepas solat secara berjemaah adalah amalan bidaah. Golongan yang melakukan bidaah ini menjadikan ulama mereka seperti Yahudi dan Nasrani menjadikan pendeta dan rahib sebagai tuhan mereka.
l Persoalan keharusan bertaklid.
Persoalan pertama ialah keharusan bertaklid. Benarkah orang yang mahu berpegang kepada al-Quran dan sunnah seumpama salafussoleh bebas daripada bertaklid? Sekiranya pembaca ditanya mengenai siapakah yang meriwayatkan hadis yang penulis tuliskan di atas (penulis sengaja tidak menyatakan periwayat hadis itu), dan saudara pembaca bertanya Ustaz A, dan ustaz itu menyatakan Abu Daud (Bab al-Sunnah, nombor 3991) dan al-Tirmizi (Bab al-Ilm, nombor 2660) yang meriwayatkannya, maka sebenarnya saudara sedang bertaklid dengan Ustaz A itu.
Sekiranya ditanya pula, apakah hujahnya hadis yang saudara pegang itu sahih? Saudara pun berkata: Ustaz B pakar hadis, dia menyatakan hadis itu sahih dan tidak ada cacat cela. Saudara sebenarnya bertaklid dengan Ustaz B itu. Justeru, saudara tidak termasuk dalam maksud ayat al-Quran di atas yang menolak mengikut pendeta dan rahib (bagi Yahudi dan Nasrani), dan saudara juga berpandukan dan mengikut pandangan ustaz pada hari ini?
Dalam satu suasana yang lain, seseorang contohnya C menyatakan bahawa dia berzikir selepas solat secara berjemaah kerana berpegang kepada ulama Salaf yang membenarkan amalan itu. Ulama meyakini amalan berkenaan kerana adanya hadis sahih daripada Rasulullah.
Difikirkan secara rasional, kedua-dua pihak pertama dan kedua mengamalkan taklid. Pihak pertama bertaklid kepada Ustaz A dan B. Adapun pihak kedua bertaklid kepada ulama Salaf (iaitu ulama dalam lingkungan tiga kurun selepas Rasulullah).
Pihak pertama bertaklid dengan Ustaz A dan B (yang hidup pada zaman ini) kerana yakin dengan ilmu dan akhlaknya ketika remaja dan dewasa. Pihak kedua juga bertaklid dengan mazhab Salaf kerana yakin dengan keilmuan dan akhlak mereka sejak remaja bahkan mereka terkenal dengan kesalihan dan warak. Bahkan ilmu mereka diiktiraf seantero dunia sejak dahulu berbanding Ustaz A dan B.
Adalah tidak benar mentafsirkan ayat di atas (seumpama mengikut pendeta dan rahib) terhadap masyarakat yang bertaklid kepada mazhab yang empat.
Qiyas itu amat tidak tepat kerana pendeta Yahudi dan rahib Nasrani adalah mereka yang mencipta sendiri hukum kepada kaum mereka dan bertentangan dengan nas. Taurat dan Injil. Kaum mereka lantas mengikut mereka walaupun sedar ia bertentangan dengan taurat dan Injil.
Walhal ulama mazhab fiqh dalam Islam, mereka bukanlah pencetus hukum tetapi mereka cuma berperanan untuk menghurai dan menjelaskan kehendak ayat dan hadis serta pengertiannya. Mereka mentafsirkan permasalahan semasa dengan melihat kaedah syarak keseluruhannya. Rasulullah SAW bersabda: al-'Ulama warasatul anbiya` yang bermaksud ulama itu pewaris nabi. Justeru, masyhur di kalangan ulama usul yang menyatakan mazhab orang awam adalah mazhab mufti atau imamnya.
l Ulama menutup pintu berijtihad dan takut mempraktikkannya.
Ijtihad bererti menggunakan segala usaha dan kemampuan oleh mujtahid (ulama yang memenuhi syarat ijtihad) untuk mengeluarkan hukum pada sesuatu perkara. Persoalan menutup pintu ijtihad adalah isu utama apabila membicarakan perkembangan mazhab fiqh.
Kekusutan masyarakat Islam selepas jatuh sistem kekhilafahan amat berkait rapat dengan permasalahan ini. Ulama dilabelkan sebagai jumud, taksub dan terkongkong dengan fenomena ini.
Namun, masyarakat Arab tidak juga maju walaupun ikatan mazhab semakin terungkai. Walaupun kemunduran negara Islam bukan bererti gerakan tajdid ini salah, namun kemunduran negara Islam tetap dikaitkan dengan pegangan mazhab. Bacalah buku berkaitan al-Madkhal fi al-Fiqh al-Islami dan Tarikh al-Tasyri' al-Islami. Bacalah sendiri tanpa perlu meminta pertolongan orang lain untuk menterjemahkannya bagi mengelakkan bertaklid kepada penterjemah dan tafsirannya. Kita akan dapati, hampir semua penulis mengaitkan kemunduran umat Islam dengan budaya taklid mazhab.
Jika begitu keadaannya, Kenapa tidak boleh digunakan hujah, kemajuan umat Islam Malaysia berpunca daripada ketertiban dan iltizam mereka pada ulama khususnya ajaran yang dibawa oleh ulama tafsir, hadis, akidah, ulama fiqh dan ahli sufi yang haq. – Bersambung
Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia
Sumber: Berita Harian
Posted at 10:14 am by jundullah